Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (dua kiri) menyertai delegasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (dua kanan) bertemu Presiden Singapura, Halimah Yacob di Istana Presiden hari ini. Foto Tangkap layar video PMO.

Sarawak tawar elektrik dan perdagangan karbon kepada Singapura – Abang Johari

ByFirdaus Ismail

SINGAPURA, 30 Jan: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak menawarkan dua sumber tenaga yang diperlukan oleh Singapura untuk memenuhi keperluan sektor perindustriannya.

Premier Sarawak itu berkata, tawaran ini dinyatakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Pra Majlis di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini hari ini.

Kata Abang Johari, Sarawak menyatakan untuk membekalkan tenaga elektrik dan melaksanakan perdagangan karbon dengan Singapura.

“Berkenaan penyaluran tenaga elektrik dari Tondong, Sarawak ke Singapura, setakat ini perbincangan bagi projek yang dijangka menelan kos antara RM19 bilion hingga RM25 bilion itu sedang berjalan dengan baik.

“Bagaimanapun saya yakin akan ada siri perbincangan lanjut membabitkan Malaysia, Singapura dan Indonesia kerana projek itu akan melalui kawasan perairan Indonesia,” katanya.

Abang Johari berkata demikian kepada TVS selepas menyertai delegasi Perdana Menteri melakukan kunjungan bertemu Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Presiden Singapura, Halimah Yacob di Istana Presiden hari ini.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bercakap dalam sidang media di Singapura di sini hari ini. Turut hadir, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi (dua dari kiri) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki. Foto: Awang Azmil Awang Ahmad (TVS).

Berhubung perbincangan itu khasnya melibatkan Indonesia, Abang Johari berkata, Malaysia dan negara jiran itu mempunyai perjanjian perdagangan pada 1982 sekali gus akan membawa kepada kejayaan projek berkenaan.

“Anggaran kos enam hingga lapan bilion dolar Singapura, kos itu akan ditanggung oleh Singapura dan pihak-pihak yang bekerjasama dengan mereka,” kata Abang Johari.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datu Sharbini Suhaili berkata, pembinaan kabel dasar laut sepanjang 720 kilometer (km) yang mana sebahagian besar akan melalui perairan Indonesia diperlukan untuk projek saluran tenaga elektrik itu.

Sementara itu, Abang Johari berkata, beliau turut memaklumkan kepada Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong berkenaan kemampuan Sarawak untuk membekalkan tenaga baharu kepada republik itu.

“Apabila kita (Sarawak) keluarkan hidrogren, kita sudah ada elektrik yang (mampu) pecah H20 (air) kepada hidrogren.

“Ini satu lagi sumber yang dimiliki oleh Sarawak dan saya yakin kita akan dapat bantu rakan-rakan tapi yang penting, pelaburan lain datang ke Sarawak disebabkan kekuatan sumber yang dimiliki,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan