SARIKEI, 30 Jan: Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian melakukan kunjungan mesra sempena Tahun Baharu Cina ke kediaman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing di sini, hari ini.
Dr Sim yang diiringi isteri, Datin Sri Enn Ong tiba di kediaman pemimpin itu kira-kira jam 9 pagi.
Ia merupakan salah satu tradisi beliau setiap kali Tahun Baharu Cina sekali gus menjadi identiti dan lambang permuafakatan dalam kalangan pemimpin di negeri ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sempat berkongsi kata-kata semangat dan idea bernas antara kedua-dua pemimpin.
Sementara itu, Kuong Hiing memberitahu, sambutan Tahun Baharu Cina disambut meriah oleh semua lapisan masyarakat di kawasan DUN Meradong.
Malah katanya, ia jelas membuktikan sikap toleransi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, budaya dan agama.
Sambil meluahkan rasa gembira dengan kehadiran Timbalan Premier itu, beliau berkata, kunjungan pemimpin tersebut juga mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian yang tinggi
“Budaya kunjung-mengunjung antara satu sama lain dalam setiap kali sambutan sesuatu perayaan menjadikan Sarawak kekal unik di mata masyarakat luar,” katanya. – TVS