LIMBANG, 30 Jan: Kerajaan Sarawak terus memberi tumpuan terhadap pelaksanaan projek dan program pembangunan infrastruktur dan kemudahan di utara negeri ini pada tahun ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ini adalah untuk memastikan Limbang dan Lawas terus membangun seperti kawasan lain di Sarawak.
Beliau berkata antara projek yang diberi tumpuan ialah pembinaan jalan raya dan telekomunikasi.
“Antaranya ialah lebuh raya pantai utara. Insya-Allah kita akan mulakan pada tahun ini. Kita sudah mendapat persetujuan daripada kerajaan Brunei.
“Sarawak Link Road juga akan dilaksanakan, fasa pertama sudah dalam pembinaan dan ini akan kita teruskan.
“Begitu juga jalan yang menghubungkan terus ke sempadan di antara Sarawak dengan Indonesia juga dalam perancangan kita,” katanya kepada TVS ketika ditemui selepas melakukan kunjungan Tahun Baharu Cina ke kediaman para pemimpin kaum Cina di sini pada Ahad.
Antara kediaman yang dikunjungi beliau ialah Pemanca Leong Boong Ming, Penghulu Chua Beng Soon dan Pengerusi Persatuan Hokkien Limbang David Chua Kien Teen.
Turut serta, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan Residen Limbang Yunus Tambi.
Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata lagi kerajaan juga memberi tumpuan terhadap pembinaan jalan kampung.
“Dari segi kemudahan asas seperti bekalan elektrik, apa yang utama ialah menyambung Limbang dan Lawas kepada grid elektrik negeri. Mudah-mudahan ini akan dapat disiapkan pada 2024.
“Dengan siapnya projek ini lebih banyak kawasan di luar bandar mendapat bekalan elektrik,” katanya sambil menambah, bekalan air bersih turut menjadi tumpuan,” ujarnya. – TVS