Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Nancy Shukri memotong reben sebagai simbolik perasmian Kempen Kesedaran Reproduktif Wanita di Lundu, hari ini. Foto: TVS

Kanser payudara, kanser utama penyebab kematian wanita

LUNDU, 29 Jan: Kanser payudara merupakan antara kanser utama yang menyerang wanita dan antara kanser utama penyebab kematian dalam kalangan wanita di Malaysia.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penyakit itu merekodkan peratusan tertinggi berbanding kanser lain dalam kalangan wanita iaitu 34.1 peratus daripada 100,000 orang.

Selain itu, kanser serviks juga dikenal pasti sebagai penyakit kanser reproduktif yang sering menghantui wanita di negara ini dengan wanita berumur 30 tahun dan ke atas merupakan kumpulan berisiko tinggi, katanya berucap merasmikan Kempen Kesedaran Reproduktif Wanita (WcaRe) di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) melancarkan kempen WCaRe bagi meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan melakukan saringan awal bagi mengesan kanser payudara dan kanser serviks atau pangkal rahim dalam kalangan wanita.

Usaha tersebut juga jelasnya sejajar dengan hasrat dalam mencapai sasaran global iaitu sifar kanser serviks menjelang 2070.

Selain daripada kempen kesedaran ini, LPPKN turut mempunyai kepakaran dan fasiliti untuk menjalankan Ujian HPV DNA bagi mengesan kanser serviks manakala ujian mamogram untuk mengesan kanser payudara.

“LPPKN turut menyediakan subsidi bersasar untuk kedua-dua ujian ini bagi mereka yang layak, terutamanya golongan B40.

“Sejumlah 49 Klinik Nur Sejahtera (KNS) LPPKN di seluruh negara turut melaksanakan Kempen WCaRe ini dan juga menyediakan perkhidmatan Ujian Mamogram dan Ujian HPV DNA,” katanya.

Tambah Nancy, program jangkauan luar turut dilaksanakan bagi memastikan Kempen WCaRe mendapat liputan meluas serta seramai mungkin rakyat menerima manfaat berkenaan.

Beliau dalam pada itu turut menyeru orang ramai khususnya wanita agar mengambil peluang berkenaan untuk melakukan ujian saringan bagi mengesan serta pencegahan awal penyakit kanser terbabit. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan