DAHULUNYA seorang pembantu jurutera, kini Nur Hasyah Mohammad Hassan menjana pendapatan dengan menjual kuih akok apabila menyedari kuih tradisi Kelantan ini sangat digemari di Sarawak.
Beliau yang berasal dari Kampung Nombor, Kuching pada mulanya hanya membuat kuih akok sekadar suka-suka kerana suaminya yang berasal dari Kelantan sememangnya menggemari kuih itu.
Menurutnya, idea menjual kuih akok mula tercetus setelah mempelajari cara pembuatannya dari ibu mertuanya sendiri setiap kali pulang ke kampung suaminya di Kelantan.
“Selepas itu, setiap kali pulang semula ke Sarawak saya akan membuat kuih akok dan menjamu kawan-kawan di sini, tak sangka pula ada yang suruh saya jual. Tak sangka orang Sarawak minat makan kuih akok.
“Saya mula mengambil tempahan sejak 2017 dan kini saya mampu jual sehingga 200 kotak kuih akok dalam sehari,” katanya kepada TVS.
Nur Hasyah berkata dirinya bertekad untuk memperkenalkan rasa unik kuih berkenaan kepada masyarakat Sarawak dengan menggunakan nama Akok Sohor.
Bahan utama bagi kuih akok adalah gula Melaka, tepung gandum, santan dan proses membakar kuih akok mengambil masa lebih kurang 10 minit tetapi proses pembuatannya mengambil masa yang agak lama.
Untuk memenuhi tempahan yang kian meningkat, Nur Hasyah terpaksa menempah peralatan membuat kuih itu dari Kelantan.
Air tangan Nur Hasyah ini, berjaya menambat hati para pelanggannya.
Salah seorang pelanggan setianya, Nabila Reduan berkata sejak mula merasai kuih akok, beliau terus meminati kuih ini dan selalu menempah kuih tersebut dari Nur Hasyah.
“Rasanya memang kena dengan selera saya walaupun kuih ini asalnya dari Kelantan,” katanya.