SARIKEI: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas dikatakan terjatuh ke dalam sungai ketika menangkap ikan berhampiran Bukit Kinyau Tanjung Manis.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Mahmudin Norudin berkata, kejadian dipercayai berlaku antara 8.00 hingga 12 tengah malam.
Katanya, mangsa Muhd Imran Najmi Mokthar, 18, dilaporkan terjatuh ketika tidur di atas bot itu dan kehilangannya terjawab selepas rakannya menemui selimut yang digunakan mangsa timbul di atas permukaan air.
“Mereka berehat selepas selesai memunggah pukat hanyut ke dalam bot dan mereka tidur awal sebelum sesi pemunggahan seterusnya.
“Pada hari kejadian sekitar jam 7 malam, mereka berehat setelah selesai memunggah pukat hanyut dan mereka tidur awal sebelum sesi memukat seterusnya.
“Tiba-tiba sekitar jam 12 malam, rakannya yang juga tidur di bahagian belakang kapal terbangun dan mendapati Muhd Imran tiada di tempatnya,” katanya dalam dalam satu kenyataan hari ini
Setelah memastikan mangsa yang berasal dari Kampung Lot Belawai itu tiada di atas kapal, mereka bergegas mendapat bantuan nelayan di kapal ikan lain untuk melakukan pencarian.
Beberapa jam kemudian, mereka menjumpai selimut mangsa di permukaan air sekaligus mengesahkan mangsa benar-benar jatuh ke dalam sungai.
Susulan operasi menyelamat kini giat dilakukan namun setakat ini, mangsa belum ditemui.