MIRI, 28 Jan: Sarawak telah mengorak langkah awal untuk memantapkan industri minyak dan gas dengan penglibatan PETROS secara lebih meluas, kata Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Usahawan (Pembangunan Usahawan), Dr Ripin Lamat.
Menurutnya antara inisiatif ketara adalah usahasama dengan PETRONAS menggiatkan semula aktiviti Eksplorasi dan Pengeluaran (E&P) di Sarawak bagi meningkatkan penglibatan vendor dan kontraktor minyak dan gas di Sarawak.
“Pembangunan industri hiliran merupakan satu komponen penting dalam usaha mempelbagaikan hasil pendapatan negara daripada industri minyak dan gas,” katanya pada Program Turun Padang Ke Arah Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP) 2023 di Hotel Pullman di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Ripin memberitahu Sarawak telah memeterai perjanjian dengan PETRONAS bagi menyediakan peluang penglibatan yang lebih luas terutamanya kepada PETROS.
“Sarawak juga telah memeterai Perjanjian Penyelesaian Komersial dengan PETRONAS dengan memberikan pendapatan tambahan yang lebih banyak daripada hasil minyak dan gas yang ditemui di wilayah kita ini”.
“Ini secara tidak langsung, menyediakan peluang penglibatan dengan lebih luas dan aktif kepada pemain industri minyak dan gas terutamanya pengurusan sumber minyak dan gas darat oleh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) iaitu kerajaan Sarawak bagi memperluaskan lagi penglibatan masyarakat dan kerajaan Sarawak di dalam industri minyak dan gas”.
“Jadi, ini adalah peluang perniagaan yang terbuka luas terutamanya di zon utara yang banyak industri hiliran dan juga industri minyak dan gas yang kita boleh terlibat sama,” katanya lagi.
Justeru itu, di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030, Dr Ripin mendedahkan Premier Sarawak menyasarkan pembangunan ekonomi yang lebih mampan melibatkan industri minyak dan gas di negeri Sarawak selain ekonomi hijau dan ekonomi digital.
Sehubungan itu, pihak kerajaan melalui agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan akan membantu dalam pelbagai aspek seperti khidmat nasihat, bimbingan, latihan, mengatur kerjasama, bantuan kewangan dan jaringan strategik dengan pemain industri.
Hasrat berkenaan tegasnya sektor tenaga terutamanya minyak dan gas memainkan peranan penting di dalam pembangunan ekonomi dan hingga hari ini, ia merupakan penyumbang hasil pendapatan terbesar kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dengan nilai RM383 bilion. – TVS