Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersama Chiew Chee Yaw dan Richard Tajan memotong reben bagi merasmikan pembukaan pejabat pegawai-pegawai kanan JKR di Kuching, hari ini. Foto: Pejabat Timbalan Premier.

Uggah yakin kemampuan JKR selia projek besar

ByRegina Lee

KUCHING, 27 Jan: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah yakin Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dapat memanfaatkan sebaik mungkin dasar yang memberi kelulusan projek bernilai tidak lebih RM50 juta kepada Sarawak.

Beliau memberi jaminan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatannya ke Sarawak baru-baru ini bahawa JKR mempunyai pengalaman mencukupi dalam melaksanakan projek-projek besar.

Perdana Menteri pada awal bulan ini mengumumkan Sarawak dan Sabah masing-masing diberi kuasa meluluskan projek tidak lebih RM50 juta tanpa merujuk Putrajaya dalam keseluruhan proses pelaksanaan sesuatu projek.

Menurutnya, autonomi ini akan menghapuskan birokrasi dan kelewatan pelaksanaan projek.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri taklimat JKR mengenai kemajuan pelaksanaan projek khususnya bagi daerah Kapit di Ibu Pejabat JKR di sini, hari ini.

Taklimat itu dikendalikan oleh Pengarah JKR Sarawak Richard Tajan dan pegawai-pegawai kanannya. Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) Chiew Chee Yaw.

Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Chiew Chee Yaw dan Richard Tajan dipersembahkan dengan tarian singa pada majlis pembukaan pejabat pegawai-pegawai kanan JKR . Foto: Pejabat Timbalan Premier.

Uggah berkata lagi, beliau yakin JKR akan dapat melaksanakan tugas mengendalikan projek-projek besar walaupun ia agak mencabar dengan melihat kepada faktor keluasan negeri.

“Walaupun begitu, ia amat penting untuk kami dapat menyiapkan seperti yang dijadualkan serta tanpa kompromi terhadap kualiti, justeru adalah sangat kritikal bagi kita melakukannya dengan baik.

“Ini kerana Perdana Menteri telah berjanji jika kita dapat melakukannya dengan baik, nilai peruntukan boleh meningkat pada masa akan datang.

“Kita mesti menyelesaikan mana-mana isu yang boleh menjejaskan prestasi kita. Kita mesti menyemak SOP, sistem, tenaga kerja dan cara melaksanakan tugas,” ujarnya.

Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan gembira apabila mengetahui bahawa JKR juga mempunyai Indeks Prestasi Utama (KPI) baharunya, iaitu ‘Sifar Projek Sakit’.

“Saya berharap tahun 2023 akan membawa imej baharu dan positif kepada jabatan,” ujarnya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan