KUCHING, 27 Jan: Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni menyampaikan sumbangan dana berjumlah RM118,000 kepada 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut.
Menurut Dr Hazland yang juga ADUN Demak Laut, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan DUN berkenaan bagi membantu NGO menjalankan program-program yang telah dirancang.
Penyampaian sumbangan disempurnakan Dr Hazland pada satu majlis ringkas yang diadakan di Tingkat 3, Bangunan Baitul Makmur di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berpesan kepada setiap penerima agar menggunakan dana berkenaan dengan sebaik mungkin sekali gus boleh memberi manfaat kepada setiap ahlinya sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Antara NGO yang menerima sumbangan itu ialah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Chung Hua, Persatuan Guru-Guru Al-Quran, Kelab ZDance Kuching, Tabung Kebajikan dan Sosial Pejabat Daerah Kuching, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Persatuan Taekwondo Negeri Sarawak (WTF), Kumpulan Zikir dan Hadrah An-Nur dan Kolej Matrikulasi Sarawak .
Turut menerima Kelab Sosial Kakitangan SABERKAS (Negeri), Kelab Kebajikan dan Rekreasi Kakitangan, Kelab Muaythai SS Fighters Petra Jaya, Kumpulan Zikir Rohairi, Persatuan Kumpulan Zikir Suara Bakti, Kesatuan Pembantu Makmal (Pelajaran) Negeri Sarawak, Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sri Muara dan Kelab Institusi Kakitangan Kebajikan Taman Seri Putri Kuching. – TVS