KUCHING, 26 Jan: Orang ramai di Sarawak dinasihatkan untuk menangguhkan sebarang aktiviti luar buat masa ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini susulan hujan lebat yang telah mengakibatkan banjir di beberapa lokasi di negeri ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datu Khirudin Drahman berkata orang ramai perlu lebih peka dan mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan anggota agensi penyelamat tidak mampu berada di semua lokasi pada setiap masa.
“Elakkan melakukan aktiviti pada musim Monsun Timur Laut ketika ini sebab keadaan cuaca dan taburan hujan yang tidak menentu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurutnya, JBPM Sarawak giat menjalankan advokasi awal kepada orang awam dengan mengajak mereka mengamalkan 4M iaitu ‘melihat’, ‘mendengar’, ‘memahami’ dan ‘mematuhi’ dalam berdepan musim hujan dan banjir.
Beliau berkata pihaknya juga telah mengenal pasti 286 lokasi yang kerap dilanda banjir di Sarawak.
Sarawak menjadi negeri terkini dilanda banjir berikutan hujan lebat di daerah Lundu dan Sematan lewat malam tadi.
Dua pusat pemindahan sementara dibuka di kawasan berkenaan yang menempatkan seramai 56 mangsa daripada 17 keluarga setakat petang ini. -TVS