KUCHING, 26 Jan: Warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bersedia menerima pakai konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyampaikan perkhidmatan kepada masyarakat.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Ashmon Bajah berkata, sebagai antara agensi penguatkuasaan undang-undang, pihaknya akan memastikan kesejahteraan dinikmati masyarakat di kawasan pentadbiran mereka.
“Di bawah konsep berkenaan, matlamat kita adalah untuk merubah Malaysia menjadi sebuah negara yang mampan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati serta bersikap ihsan berdasarkan keyakinan antara satu sama lain.
“Tugas kita (polis) adalah untuk memastikan semua undang-undang yang ada dilaksanakan demi kesejahteraan masyarakat di Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulan IPD berkenaan di sini hari ini.
Perdana Menteri ketika memperkenalkan konsep berkenaan berkata, ia dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi pentadbiran negara secara berkesan, menekankan kepada pemerkasaan ekonomi dan budaya, yang berteraskan nilai, etika atau akhlak. -TVS