KUCHING: Polis Sarawak akan memperketatkan serta meningkatkan rondaan dan pemantauan lebih-lebih lagi di taman perumahan dan kampung semasa perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Ketua Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail, hal ini untuk memastikan masyarakat mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam membendung penularan Covid-19 selain memastikan tiada masyarakat yang berkumpul menyambut perayaan selaras dengan keputusan jawatankuasa pengurusan bencana negeri (JPBN) Sarawak.
“Seperti tahun-tahun lepas, sekatan rentas daerah masih lagi berkuat kuasa. Pihak polis akan melakukan rondaan di kawasan perumahan bagi memastikan tiada yang berkumpul pada hari raya ini
“Kompaun akan dikeluarkan terhadap mereka yang masih ingkar terhadap pematuhan s-o-p yang telah ditetapkan,” katanya setelah menghadiri sesi rakaman program Twenty30 terbitan TVS di pejabat TVS hari.
“Hari raya ini kita sambutlah dalam kalangan keluarga terdekat sahaja. Untuk elak penularan covid-19. Yang tinggal berjauhan, saya nasihatkan tidak merentasi daerah tanpa permit. Jika ada yang masih berdegil, polis tidak teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun,” tambahnya.
Pada 21 April lalu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Rahim Jaafar menegaskan polis akan membuat pemeriksaan mengejut rumah ke rumah pada perayaan Aidilfitri bagi memeriksa kebenaran surat rentas negeri.
Hal ini kerana kemungkinan ada yang cuba meloloskan diri dengan melakukan rentas negeri untuk beraya di kampung halaman masing-masing.