SANDAKAN, 23 Jan: Pengurusan kewangan dan pentadbiran negeri yang baik dan teliti membolehkan Sabah berada di landasan yang tepat untuk mencapai lebih banyak kemajuan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pada tahun lalu Sabah berjaya memungut hasil sebanyak RM6.6 bilion sekali gus menjadi pungutan tertinggi dalam sejarah pentadbiran kerajaan negeri.
Selain itu, beliau berkata Sabah menerima pelaburan asing RM33.4 bilion daripada syarikat-syarikat besar dan jumlah ini antara yang terbesar berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.
Menurutnya, faktor ini sudah pasti dapat mewujudkan lebih banyak aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan yang akan memberi manfaat kepada rakyat.
“Apa yang kita capai ini berkat kerjasama dan dasar mesra pelabur kerajaan negeri. Saya yakin jika kita urus negeri dengan baik dan berkesan, kita boleh membawa Sabah maju ke depan.
“Saya beri jaminan kita akan mengangkat Sabah sebagai sebuah negeri yang maju dan mesra pelabur dalam beberapa tahun lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat bersama Majlis Perbandaran Sandakan di Dewan Hakka di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Doktor Jeffrey Kitingan dan ADUN Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung.
Hajiji berkata lagi, kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina adalah hasil keamanan, perpaduan dan kerjasama dalam meningkatkan ekonomi negeri yang sebelum ini turut terjejas akibat COVID-19.
“Majlis rumah terbuka ini membuktikan kerajaan negeri sentiasa mementingkan dasar kesaksamaan terhadap semua perayaan tanpa mengira kaum dan agama di negeri ini.
“Kita akan terus memelihara keharmonian dan keamanan ini. Kita juga akan memastikan semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dapat meraikan perayaan masing-masing dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya. – TVS