Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Dana RM5 Bilion Daripada KWAN Bagi Percepat Pemerolehan Vaksin

ByEekbal Yusuf

PUTRAJAYA: Sebanyak RM5 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) akan digunakan untuk mempercepatkan pemerolehan vaksin COVID-19, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, KWAN memiliki dana RM19.5 bilion setakat 31 Dis 2020, merangkumi sumbangan Petronas sebanyak RM10.4 bilion dan baki RM9.1 bilion dari pulangan pelaburan terkumpul.

Di bawah Seksyen 6, Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 (Akta 339) membenarkan dana KWAN digunakan selepas tempoh 10 tahun bagi tujuan perbelanjaan pembangunan dan membiayai pinjaman mudah kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, katanya.

“Penggunaan dana KWAN hanya dihadkan untuk memperoleh vaksin, dan bukan untuk tujuan lain yang tidak dinyatakan di bawa undang-undang.

“Anggaran RM5 bilion untuk pemerolehan vaksin hanyalah menggunakan pelaburan yang dijana (RM9.1 bilion) tetapi jumlah pokok sumbangan RM10.4 bilion masih kekal dan tidak digunakan,” katanya dalam sidang media bagi menjelaskan isu dana KWAN di sini hari ini.

Pada 21 April lepas, kerajaan telah meluluskan pindaan ke atas Akta 339 yang membolehkan dana daripada KWAN digunakan bagi tujuan pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan berhubung vaksin, melalui pewartaan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.

Tengku Zafrul berkata ia bertujuan mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan agar dapat mencapai imunisasi kelompok secepat mungkin pada hujung tahun ini berbanding sasaran asal pada Feb 2022.

Beliau berkata penggunaan dana KWAN bukanlah kali pertama digunakan kerajaan kerana sebelum ini dana yang sama berjumlah RM42 juta digunakan bagi projek Paya Indah Wetlands.

Beliau berkata tujuan KWAN ditubuhkan adalah untuk memastikan penggunaan optimum hasil sumber-sumber asli negara yang stabil untuk faedah negara dan generasi akan datang.

“Kitalah merupakan masa depan yang dimaksudkan semasa dana ini ditubuhkan. Kalau kita tidak boleh guna dana KWAN, sampai bila-bila pun generasi akan datang tidak boleh menggunakannya,” katanya.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan