Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain menunjukkan gambar suspek dan mangsa cedera berhubung kes mendatangkan kecederaan melibatkan warganegara asing di kawasan Perai dan Timur Laut pada sidang media hari ini. Foto: Bernama

Empat lelaki warga asing ditahan kerana bergaduh

ByBernama

GEORGE TOWN, 23 Jan: Polis menahan empat lelaki warga asing kerana terlibat dalam pergaduhan sehingga menyebabkan dua daripada mereka cedera parah di sebuah rumah di Taman Chai Leng, Perai dekat sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 3.25 pagi akibat perselisihan faham ketika kesemua yang berusia 23 hingga 27 tahun itu dalam keadaan mabuk.

“Dua yang cedera parah di bahagian muka dan tangan akibat ditikam dengan pisau dirawat di Hospital Seberang Jaya.

“Polis turut merampas sebilah pisau lipat dianggar berukuran 15 sentimeter yang disyaki digunakan dalam pergaduhan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, kesemua pekerja kilang itu direman hingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Dalam kes lain, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga asing kerana disyaki memukul rakannya senegaranya dengan menggunakan botol kaca dalam pergaduhan di sebuah rumah flat di Sungai Nibong di sini, pada jam 10.23 malam, Sabtu lepas.

Beliau berkata, kedua-duanya yang berusia 24 tahun dan bekerja sebagai tukang cuci di sebuah medan selera di Bayan Lepas dekat sini pada mulanya minum minuman keras bersama-sama sebelum mabuk lalu bergaduh.

“Mangsa cedera di bahagian kening akibat dipukul oleh suspek yang juga rakan serumahnya. Suspek direman hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mengenai Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina yang dilancarkan sejak 18 Januari lepas, Mohd Shuhaily berkata, sebanyak 717 kemalangan direkodkan di negeri ini setakat semalam dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 16 peratus atau 117 kes berbanding tahun lepas.

“Kemalangan maut menunjukkan penurunan dengan lima kes berbanding sembilan kes pada tahun lepas manakala jumlah kematian juga menunjukkan penurunan iaitu lima berbanding sembilan pada 2022,” katanya menambah sebanyak 1.5 juta kenderaan telah direkodkan masuk ke Pulau Pinang sejak Op Selamat 19 dilancarkan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan