JULAU, 23 Jan: Seorang lelaki ditahan ketika sedang leka menjalankan aktiviti sabung ayam di kawasan lapang Nanga Lango, Entabai, di sini, petang semalam
Lelaki berusia 59 tahun terbabit cuba melarikan diri bersama sekumpulan ‘kaki sabung’ yang lain lari bertempiaran ke kawasan hutan berhampiran namun gagal.
Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Andam Sulin berkata, serbuan ‘Op Limau’ pada jam 1.30 tengah hari itu, turut merampas lima ekor ayam hidup, satu unit alat penimbang dan satu papan putih tertulis jadual pertaruhan.
“Suspek cuba melarikan diri namun gagal manakala sekumpulan lelaki yang lain bertempiaran lari ke hutan berhampiran mengelakkan diri daripada tertangkap,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, tangkapan dan rampasan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan dan Penganiayaan Binatang 1962.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum mengikut Seksyen 5 (3) ordinan yang sama yang boleh dihukum penjara tiga bulan atau denda RM500,” tegasnya.
Menurut Andam, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah di daerah Julau diminta tampil kepada pihak polis yang berdekatan atau menghubungi talian 084-734216. -TVS