Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Impian Speedy Tigers untuk mara ke suku akhir musnah selepas dikecewakan Sepanyol 3-4 menerusi penentuan penalti shootout “sudden death” dalam saingan “Crossover”  pada Piala Dunia 2023 di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India  hari ini. Foto: Malaysian Hockey Confederation

Piala Dunia: Speedy Tigers berputih mata, terlepas aksi suku akhir di tangan Sepanyol

ByBernama

KUALA LUMPUR, 22 Jan: Impian Speedy Tigers untuk mara ke suku akhir musnah selepas dikecewakan Sepanyol 3-4 menerusi penentuan penalti shootout “sudden death” dalam saingan “Crossover”  pada Piala Dunia 2023 di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India hari ini.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga akhir perlawanan dengan Malaysia menjaringkan dua gol padang menerusi Faizal Saari (minit ke-34) and Shello Silverius (minit ke-48) sementara Sepanyol memperoleh gol sulung mereka menerusi penalti strok Marc Miralles pada minit ke-40 dan gol padang Xavier Gispert yang menyusul seminit kemudian.

Keputusan seri itu menyaksikan penentuan penalti shootout yang berakhir dengan kesudahan seri 3-3 dengan penjaga gol simpanan Sepanyol Mario Garin yang menggantikan penjaga gol utama Adrian Rafi muncul wira selepas menafikan pukulan dua pemain Malaysia, kapten  Muhammad Marhan Mohd Jalil dan penyerang,   Shello – sementara  Firhan Ashari, Faizal dan Shahmie Irfan Suhaimi memastikan bola pukulan mereka menerjah gawang.

Keputusan seri itu memaksa penentuan menerusi penalti shootout “sudden death” dilaksanakan dan kesudahan yang menyebelahi Sepanyol selepas Marc berjaya menewaskan  ,penjaga gol negara Muhammad Hafizuddin Othman sementara  Firhan Ashaari gagal menyempurnakan pukulannya.

Walaupun terlepas peluang ke suku akhir, pujian harus diberikan kepada anak buah A Arul Selvaraj apabila berjaya mengheret Sepanyol yang dibimbing  Maximiliano Caldas, sehingga ke penentuan penalti shootout “sudden death”.

Terdahulu, Malaysia yang dilihat menerapkan corak permainan berhati-hati selain hantaran kurang tepat di kawasan Sepanyol menyukarkan usaha mereka merencanakan pergerakan berbahaya untuk cuba merobek gawang lawan pada separuh pertama perlawanan.

Sepanyol yang jelas menguasai bola pula gagal memanfaatkan peluang keemasan untuk menjaringkan gol pendahuluan apabila penjaga gol negara Muhammad Hafizuddin bertindak cemerlang menafikan beberapa percubaan termasuk menampan tolakan Enrique Gonzalez yang berpunca daripada pukulan sudut penalti pada minit ke-11 disusuli percubaan Joaquin Menini pada minit ke-20.

Aksi babak kedua yang berlangsung rancak menyaksikan Speedy Tigers mengejutkan skuad The Red Sticks apabila penyerang prolifik negara, Faizal Saari membuka tirai jaringan menerusi gol padang , empat minit selepas perlawanan bersambung.

Bagaimanapun, kedudukan kembali seimbang apabila Marc tenang menyempurnakan penalti strok pada minit ke-40 dan Sepanyol hanya memerlukan tempoh seminit untuk berada di depan menerusi jaringan padang Xavier Gispert, yang menyudahkan gerakan cantik dari sebelah kanan oleh Pere Amat.

Tersentak dengan situasi berkenaan, Malaysia yang melancarkan serangan demi serangan sebaik suku terakhir bersambung kurang bernasib baik apabila jaringan penyamaan Amirul Azahar dibatalkan pengadil Marcin Grochal selepas Faizal didapati tergelincir sehingga menyaksikan bola terkena di bahagian belakang kayunya sebelum melakukan hantaran kepada Amirul.

Speedy Tigers yang tidak mudah menyerah kalah akhirnya berjaya menyamakan kedudukan apabila Shello Silverius memanfaatkan situasi kelam kabut di depan gawang lawan sebelum menguis bola menewaskan penjaga gol Sepanyol Adrian pada minit ke-48, sekali gus mengheret perlawanan ke aksi penalti shootout.

Malaysia memulakan kempen Piala Dunia kali ini dengan langkah kiri apabila tumpas 0-4 kepada juara tiga kali, Belanda sebelum bangkit menewaskan Chile, 3-2 dan menutup saingan Kumpulan C dengan mengejutkan New Zealand juga, 3-2.

Pasukan kebangsaan layak ke saingan ‘Crossover’ dengan muncul naib juara Kumpulan C di belakang juara, Belanda.

Perjuangan Speedy Tigers di India masih belum tamat  apabila berdepan pasukan tercorot Kumpulan A Afrika Selatan pada 26 Jan ini bagi perlawanan tempat kesembilan hingga ke-16 di di Stadium Birsa Munda, Rourkela. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan