Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing (tiga, kanan) menyampaikan cenderahati kepada pelancong yang tiba menerusi pesawat Xiamen Air (MF 0877) dari Fuzhou, China pada Majlis Sambutan Ketibaan Pelancong Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2023 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. Foto Bernama.

MOTAC sasar kedatangan lima juta pelancong China ke Malaysia tahun ini – Tiong

ByBernama

SEPANG, 22 Jan: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan kedatangan lima juta pelancong China ke Malaysia tahun ini berbanding 3.1 juta pada 2019, kata Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing.

Tiong berkata sasaran itu ditetapkan, susulan keputusan negara itu membuka semula sempadan pada 8 Januari lepas, selepas tiga tahun sekatan yang dilaksanakan berikutan pandemik COVID-19.

“Kita gembira lihat kedatangan pelancong ke negara ini untuk pacu sektor pelancongan dan ekonomi negara.

“Saya ucapkan selamat datang ke Malaysia dan berharap pelancong dari negara lain juga melawat Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan cenderamata sempena Tahun Baharu Cina kepada pelancong dari Hong Kong dan China, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Beliau berkata sasaran tersebut dijangka tercapai, apabila China menyambung semula perkhidmatan lawatan berkumpulan ke 20 negara termasuk Malaysia, bermula 6 Februari ini.

Negara yang tersenarai ialah Thailand, Indonesia, Kemboja, Maldives, Sri Lanka, Filipina, Rusia, Singapura, Laos, Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Kenya, Afrika Selatan, Switzerland, Hungary, New Zealand, Fiji, Cuba dan Argentina.

Tiong turut memberi jaminan setiap pelancong China yang memasuki negara ini, telah menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum berlepas dan meminta rakyat Malaysia untuk terus mengutamakan kesihatan diri, di samping menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Walaupun COVID-19 masih ada tetapi kita kena bergerak ke hadapan, kita sama-sama jaga kesihatan kendiri dan kita kena bergerak ke hadapan,” katanya.

Baru-baru ini Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), dilaporkan menaruh kepercayaan penuh kepada Kementerian Kesihatan (KKM) menguruskan ketibaan pelancong China, sama seperti yang mereka lakukan dengan pengembara lain dari seluruh dunia.

Tiong turut meminta pelbagai pihak untuk bekerjasama dengan MOTAC menjayakan promosi pelancongan bagi merancakkan semula sektor terbabit. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan