MIRI, 22 Jan: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Jee Foh Utama dekat sini malam tadi.
Mangsa, Lim Tze Kiat, 37, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemangku Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri, Penguasa Kanan Bomba II (PgKB II) Ahmad Nizam Sapaiee berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 11.58 malam.
“Setibanya di tempat kejadian, bomba mendapati sebuah kenderaan jenis Honda HRV yang dipandu mangsa telah bertembung dengan sebuah Honda Accord.
“Pasukan bomba telah mengeluarkan pemandu Honda HRV yang dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di tempat kejadian.
Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Umum Miri manakala pemandu kereta Honda Accord yang mengalami kecederaan telah dibawa ke hospital sama untuk rawatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)Â Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987. -TVS