SIBU, 21 Jan: Dua remaja lelaki ditahan kerana melakukan aksi ‘wheelie’ dalam Ops Samseng Jalanan melibatkan dua lokasi di Jalan Awang Ramli Amit dan Datarsn Sibu pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata masing-masing mereka berusia 15 dan 19 tahun  disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Dua individu terbabit ditahan kerana disyaki menunggang motosikal secara berbahaya iaitu ‘aksi wheelie’ dan mempamer nombor plat pendaftaran palsu,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Menengaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi serta akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang ingkar mematuhi peraturan jalan raya.
Dalam operasi sama, Zulkifli memberitahu sebanyak 24 keping saman telah dikeluarkan kepada pesalah trafik.
Antara pelbagai kesalahan dan tindakan saman ujarnya termasuk kesalahan tiada lesen memandu, kesalahan ubah suai ekzos, kesalahan plat nombor, tiada cermin sisi, tidak dilindungi insurans dan aksesori tidak sempurna, kesalahan ubah struktur, bawah umur serta plat nombor ‘fancy’.
Zulkipli turut menasihati agar masyarakat sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan menyarankan para ibu bapa memantau dan peka dengan aktiviti anak-anak mereka agar tidak terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang.