Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Sarawak antara negeri penyumbang utama ekonomi negara

BySalasiah Safian

KUCHING, 21 Jan: Sarawak harus diberi perhatian lebih memandangkan negeri ini merupakan salah satu daripada tiga penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Pendapat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu bagi mengelakkan negeri ini menerima pembangunan berat sebelah jika dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia.

Menurut beliau keputusan kerajaan Persekutuan baru-baru ini yang memberi kuasa kepada Sarawak dan Sabah untuk melaksanakan projek bernilai RM50 juta dan ke bawah merupakan langkah tepat untuk mengelakkan sebarang kelewatan projek pembangunan di kedua-dua negeri ini.

“Adalah menjadi harapan saya agar permintaan untuk meletakkan Dana Pembangunan Kerajaan Persekutuan di bawah Tabung Amanah Kerajaan Persekutuan untuk dimulakan di Sarawak bagi melaksanakan projek RM50 juta dan ke bawah tanpa sebarang halangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan Tahun Baru Cina 2023, di sini pada Jumaat.

Sehubungan itu, beliau turut menzahirkan kegembiraan berhubung isu-isu tertunggak mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diberi keutamaan oleh kerajaan Persekutuan, khususnya yang bertujuan untuk memastikan pelaksanaan projek pembangunan yang berkesan dan pantas di negeri ini.

Dalam pada itu, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan kerana telah mengiktiraf Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak sebagai jabatan teknikal dalam maksud Arahan Perbendaharaan (TI) 182 untuk melaksanakan projek di Sarawak.

“Saya percaya ini harus menjadi semangat bersama di antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan untuk memastikan Sarawak dapat dibangunkan dengan lebih cepat melalui desentralisasi kuasa yang teratur kepada Sarawak,” ujarnya.

Beliau juga berharap agar isu-isu tertunggak lain, khususnya formula sumbangan kewangan kepada Sarawak dan Sabah akan dipersetujui tidak lama lagi oleh kerajaan Persekutuan.

Beliau mendedahkan lagi, Sarawak telah mencadangkan formula berdasarkan keadaan semasa ekonomi negara dan bukannya sebagai bahan edaran semata-mata.

Beliau percaya formula tersebut menjadi mekanisme yang adil untuk membahagikan sumbangan kewangan persekutuan kepada Sarawak dan juga Sabah seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan