Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui di Sidang Media Majlis Pelaksanaan MA63, hari ini. Foto: Faitullah Morni

Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak dilantik anggotai Ahli Lembaga Pengarah LHDN, hari ini

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 20 Jan: Setiausaha Kewangan Negeri (SKN) Sarawak, Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar dilantik menganggotai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkuat kuasa hari ini.

Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menurut beliau diputuskan selepas meneliti dan mengambil kira permohonan kerajaan Sarawak berhubung perkara berkenaan.

“Dengan kuasa sebagai Menteri Kewangan, saya telah melantik Setiausaha Kewangan Sarawak berkuat kuasa hari ini sebagai Ahli LHDN.”

“Sarawak meminta perkara ini agak lama jadi dalam mesyuarat terakhir bersama jawatankuasa persiapan mesyuarat hari ini saya kata tidak ada masalah.”

“Ini satu lembaga yang sangat penting iaitu syarat lantikannya ialah profesionalisme dan pengalaman,” katanya pada sidang media Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Anwar optimis Dr Wan Lizozman berkelayakan terhadap kedua-dua pertimbangan tersebut sekali gus membantu khidmat LHDN selepas ini.

Sementara itu, menjawab pertanyaan pemberita sama ada perlantikan berkenaan memerlukan pindaan akta terlebih dahulu, Anwar memaklumkan tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Setakat yang saya kaji tidak ada permasalahan mengenainya, cuma terdapat garis panduan kerana kita takut ada konflik kepentingan.

“Yang ditekankan hanya dua syarat dan ia dipenuhi dan saya berpuas hati dengan cadangan yang dikemukakan kerajaan Sarawak kerana beliau sesuai dan integritinya tidak dipertikai, itu yang utama, “ jelasnya.

Permohonan keahlian dalam Lembaga Pengarah LHDN merupakan antara perkara yang dituntut Sarawak dan Sabah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi memastikan kedua-dua negeri itu mengetahui kedudukan kewangan negara sekali gus membantu rundingan mengenai pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan