KUCHING, 20 Jan: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin ada lagi persetujuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dicapai menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63.
Mesyuarat yang dijadual berlangsung pada pagi Jumaat akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abang Johari dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.
“Sebelum ini, Perdana Menteri kita telah mengumumkan beberapa perkara berkenaan MA63 dan saya yakin esok mungkin ada pertambahan.
“Yang lain sudah diumumkan dan saya yakin esok (Jumaat) mungkin ada lagi persetujuan yang dicapai,“ katanya ketika berucap pada Majlis Jamuan Negeri bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Khamis malam.
Sementara itu, Abang Johari menegaskan bahawa MA63 bukan penghalang dalam mewujudkan perpaduan lebih erat antara Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah demi Malaysia.
“Walaupun kita menuntut mengenai MA63, jangan risau kerana kita hanya mahu mengembalikan perkara seperti telah ditulis sebelum ini. Tak banyak dan tak kurang, itu sahaja, “ ujarnya. – TVS