Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Saran Majikan Gesa Pekerja Ambil Ujian Saringan Covid-19

SIBU: Majikan digesa menyarankan pekerja menjalani ujian saringan Covid-19 terutama melibatkan pekerja sokongan ekoran peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang berpunca dari tempat kerja sejak dua minggu lalu.

Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) Dr Annuar Rapaae berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan ujian saringan Covid-19 dapat memastikan wabak itu dapat dibendung dari terus merebak.

“Kami ingin menasihati mereka kalau boleh lakukan ujian saringan pada pemandu mereka, pengawal keselamatan dan juga pekerja pembersihan. Mana-mana syarikat atau institusi mana pun kami menasihati mereka untuk melakukannya.

“ Kami juga melihat bahawa pemandu berisiko tinggi kerana mereka bergerak. Beberapa kes mereka dikesan mencetuskan kluster.

“Kami sangat menasihatkan pihak atasan agar mengambil perhatian terhadap perkara ini untuk memastikan keselamatan golongan ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut beliau golongan berkenaan dikhuatiri berisiko meyebarkan virus covid-19 memandangkan pergerakan kerja mereka yang lebih terdedah kepada pekerjaan luar.

Pada masa yang sama, beliau turut menyifatkan ruang makan atau pantri tempat kerja menjadi salah satu penyumbang utama kepada penularan wabak berkenaan.

“Kita tahu pantri itu kecil dan tertutup dan mereka tidak memakai pelitup muka di pantri ketika makan. Oleh itu, kami nasihatkan agar semua pekerja di tempat kerja mana pun agar mereka tidak makan di pantri.”

Sementara itu mengulas mengenai kapasiti Hospital Sibu dan pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 di bahagian Sibu, beliau mendapati kapasiti masih pada tahap mencukupi.

Jelasnya apasiti Hospital Sibu kini diselaraskan dengan menampung 40 peratus pesakit Covid-19 dan 60 peratus pesakit biasa.

“Bagi PKRC, ia juga masih mempunyai ruang untuk ditingkatkan, bahkan masih terdapat beberapa pusat yang belum digunakan untuk pesakit Covid-19.

“Sehingga kini hanya Kolej Laila Taib yang digunakan agar fokus dapat diberikan pada satu tempat dalam penyediaan sumber kelengkapan dan memudahkan urusan.

“Kita menggunakan PKRC Kolej Laila Taib sekarang  sebab walaupun bilangan katil perlu ditingkatkan lebih baik diletakkan di satu pusat. Dengan itu kita dapat menarik semua sumber ke sana. Sekiranya diselerakkan, ia akan melemahkan sumber kekuatan dan keupayaan kita. Itulah sebabnya kami ingin memanfaatkan PKRC sepenuhnya di Kolej Laila Taib terlebih dahulu sebelum kami pergi ke kawasan lain,” tambahnya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan