BUTTERWORTH, 18 Jan: Seorang pemandu van kilang didenda RM10,000 dan dipenjara 10 hari oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini di atas pertuduhan merasuah seorang anggota polis sebanyak RM200 dua tahun lalu.
Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, M. Kalaithasan, 53, membuat pengakuan bersalah.
Jika dia gagal membayar denda, tertuduh juga boleh dikenakan hukuman tambahan penjara selama lima bulan.
Mengikut pertuduhan, Kalaithasan didakwa memberi suapan wang tunai RM200 kepada seorang anggota polis berpangkat Koperal atas dorongan untuk tidak menahan dan menyamannya.
Ia atas kesalahan membawa muatan orang melebihi kapasiti dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di bawah Peraturan 16, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 3) 2021.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di Lorong Perusahaan 4, Bukit Tengah dekat sini kira-kira pukul 5.10 petang pada 28 Jun 2021.
Kalaithasan didakwa melakukan kesahan itu mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiqa Liyana Rosman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, tertuduh memohon mahkamah mengenakan denda minimum dengan alasan dia tidak bekerja selama dua bulan selain perlu menanggung isteri, anak masih bersekolah dan ibu yang sudah tua.
Bagaimanapun, Afiqa Liyana meminta hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan rasuah boleh mendatangkan kerosakan kepada masyarakat dan ekonomi sekiranya tidak dibendung dari awal. – TVS