MIRI, 17 Jan: Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak telah membentuk dua lesen karbon iaitu Lesen Karbon Hutan dan Lesen Penyimpanan Karbon setelah setahun ditubuhkan.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni berkata, lesen karbon ini dihasilkan bagi mengawal penghasilan karbon yang dikeluarkan oleh industri minyak dan gas.
“Hal ini bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar dan pengurusan tenaga supaya mencapai sifar bersih menjelang 2050.
“Kita telah menghasilkan Lesen Karbon Hutan. Sesiapa yang mempunyai keluasan tanah minimum 100 hingga 500 ekar boleh secara ekonomi untuk menceburkan diri dalam kredit karbon dan kemudian lesen kedua yang kita berjaya adalah Lesen Penyimpanan Karbon kerana ini salah satu cara paling berkesan untuk kita mengurangkan kesan pelepasan karbon yang dikeluarkan oleh industri minyak dan gas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Program Transformasi Kontraktor Minyak dan Gas Sarawak (PTKS) 2023 di sini, hari ini.
Tambahnya juga, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) akan dilantik sebagai pemegang lesen untuk aktiviti penyimpanan karbon.
Kata beliau, PETROS akan menjadi pengurus sumber atau pemegang lesen untuk semua aktiviti penyimpanan karbon.
“Bukan PETRONAS sebab di bawah Land Code kita, kita sudah pinda dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun lepas, semua tanah di mana telaga minyak itu terletak merupakan hak milik Sarawak,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Sarawak mempunyai 1,600 lebih telaga yang akan digunakan untuk menyimpan karbon.
“Kita boleh menyimpan kira-kira 9 bilion tan karbon,” tambahnya lagi.
Perkembangan ini katanya menjadi penyumbang kepada ekonomi dan punca pendapatan baharu kepada Sarawak dengan mengenakan kos sewaan dan permit kepada mana-mana syarikat yang mahu menyimpan karbon di telaga dalam Sarawak.
Sarawak merupakan salah satu tempat di dunia selain Norway dan Amerika Syarikat yang sesuai untuk menyimpan karbon kerana terletak di luar Lingkaran Api Pasifik. – TVS