Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi melawat ke syarikat K&L Farming Industries Sdn Bhd dan Choice Ria Semariang bersama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak
Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi melawat ke syarikat K&L Farming Industries Sdn Bhd dan Choice Ria Semariang bersama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Halal Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha bersama Ahli Jawatankuasa Halal Majlis Islam Sarawak. Foto Awang Azmil (TVS)

JAIS, MIS lawat kilang di seluruh Sarawak, usaha menjamin pengeluaran produk halal

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 16 Jan: Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Majlis Islam Sarawak (MIS) akan mengadakan lawatan secara berkala ke kilang memproses ayam dan daging di seluruh negeri bagi memastikan produk yang dikeluarkan memenuhi piawaian halal ditetapkan.

Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ketika ini sebahagian daripada syarikat-syarikat di Sarawak telah memohon sijil halal namun masih perlu mematuhi beberapa garis panduan yang termaktub di bawah standard Pensijilan Halal Malaysia.

“Jadi hari ini, kita datang ke K&L Farming Industries Sdn. Bhd. untuk melihat sendiri proses penyembelihan kerana kilang ini telah memohon sijil halal untuk cawangan yang lain.

“Kilang induknya sudah mendapat sijil halal namun terdapat 22 lagi rangkaiannya di seluruh Sarawak masih dalam proses untuk memperoleh sijil halal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan ke syarikat K&L Farming Industries Sdn Bhd dan Choice Ria Semariang bersama Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Halal Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha bersama Ahli Jawatankuasa Halal Majlis Islam Sarawak, di sini, hari ini.

Tambahnya, syarikat tersebut mampu mengeluarkan hampir 15,000 ayam sembelihan sehari di beberapa lokasi termasuk di Jalan Kuching-Serian, Jalan Landeh dan Matang.

Justeru, beliau menggesa pihak yang terlibat agar sentiasa memastikan semua produk ayam yang dikeluarkan di pusat penyembelihan di seluruh Sarawak dilaksanakan dengan sempurna mengikut tatacara sijil halal yang telah disediakan.

Sementara itu, menurut Abdul Rahman, syarikat K&L Farming Industries Sdn Bhd dan kilang-kilang pengeluaran ayam yang lain juga mampu menyediakan serta membekalkan ayam yang mencukupi ke seluruh negeri ini.

“Walaupun keperluan itu semakin meningkat pada musim perayaan Tahun Baharu Cina yang akan menjelang seminggu lagi, maka keperluan itu dapat ditampung dan mereka perlu sentiasa meningkatkan pengeluaran sedia ada,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan