KUCHING, 16 Jan: Pasukan boling lelaki Malaysia mendominasi Kejohanan Boling Asia Ke-26 apabila menyapu dua pingat emas hari ini.
Beraksi pada blok kedua acara berpasukan di Pusat Boling SACC, gandingan Rafiq Ismail, Syafiq Ridhwan, Syazirol Shamsudin, Tun Hakim dan Timmy Tan memungut 7,323 pin, jauh meninggalkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di tempat kedua dengan 7,079 pin.
Pendahulu blok pertama, Korea Selatan pula terpaksa akur dengan pingat gangsa.
Rafiq yang juga juara dunia 2018 kemudian menambah kilauan emas pasukan negara apabila muncul juara acara all events.
Pingat perak dan gangsa turut menjadi milik wakil negara menerusi Timmy Tan dan Tun Hakim malahan Malaysia menguasai lima kedudukan teratas acara itu.
Kali terakhir Malaysia muncul juara acara berpasukan ialah pada edisi 2008 juga di gelanggang sama.
Tambahan dua pingat emas hari ini menyaksikan Malaysia berada pada kedudukan pertama kutipan pingat iaitu tiga emas, lima perak dan tiga gangsa.
Pada Khamis lepas, Rafiq, Timmy dan Muaz menang emas acara trio.
Sementara itu, Ahmad Muaz ketika dihubungi TVS berkata, dia sangat gembira kerana berjaya mencapai sasaran untuk memenangi acara berpasukan.
“Hari ini saya dan rakan sepasukan memberikan yang terbaik untuk mengejar pingat emas selepas menduduki tempat ketiga selepas blok pertama semalam.
“Secara peribadi, saya sangat berpuas hati kerana dapat membawa pulang pingat emas, sudah agak lama Malaysia tidak menang acara ini,” katanya.
Skuad negara yang merupakan juara keseluruhan empat tahun lepas kini mengintai peluang untuk menambah pingat emas apabila enam pemain lelaki mara ke acara master yang akan bermula esok.
Pasukan wanita turut berpeluang meraih emas apabila turun beraksi pada blok kedua acara berpasukan wanita petang ini. -TVS