SIBU, 15 Jan: Seorang ahli peniagaan di bandar ini kerugian hampir RM18,000 akibat ditipu dalam urusan pembelian sebuah jip Mercedez Benz melalui media sosial.
Lebih malang, mangsa yang sangat berminat dengan kereta berkenaan sanggup terbang ke Pulau Pinang untuk mendapatkan kereta itu yang sebenarnya tidak wujud.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, pengadu tertarik dengan iklan jualan kereta itu di Facebook pada Khamis lalu.
“Mangsa kemudian telah berurusan melalui aplikasi WhatsApp untuk membeli kereta itu yang berharga RM33,000,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Zulkipli berkata, mangsa yang berusia dalam lingkungan 50 -an telah membuat tiga transaksi pembayaran berjumlah RM17,998.99 secara dalam talian kepada satu akaun bank tempatan bagi tujuan wang pendahuluan, bayaran di PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM) serta pengurusan kereta.
Bagaimanapun katanya, pengadu yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas untuk menguruskan pembelian kereta itu mendapati nombor telefon bimbitnya telah disekat oleh penjual kereta berkenaan.
“Menyedari dirinya telah menjadi mangsa penipuan, lelaki itu telah membuat laporan polis,” katanya. -TVS