KOTA KINABALU, 14 Jan: “Beri ruang untuk saya memikirkan langkah terbaik dalam mentadbir wilayah ini,” ujar Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Jelas beliau, dalam soal berkenaan, banyak faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Bagi saya ruang untuk berfikir bagaimana kita mentadbir wilayah ini dengan baik dan sebagainya. Kita perlu melihat segala aspek dalam soal-soal seumpama ini.
“Jadi jangan bimbang, kita akan ambil tindakan yang sepatutnya. Apa yang penting ialah kepentingan negeri dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakam Majlis Konvokesyen Ke-2 University College Sabah Foundation (UCSF) hari ini.
Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enggan mengulas lanjut ketika ditanya jika pihaknya sedia menerima lima ADUN UMNO Sabah sekiranya mereka kehilangan keahlian selepas menyatakan sokongan kepada beliau.
“Terlalu awal untuk saya komen kerana itu adalah hal ehwal UMNO dan Barisan Nasional (BN) jadi saya tidak boleh bercakap mengenai perkara-perkara seumpama itu. Kita tunggulah macam mana,” katanya.
Terdahulu, lima ADUN UMNO Sabah tidak bersetuju dengan keputusan parti untuk menarik sokongan terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri. – TVS