MIRI, 14 Jan: Sekolah digalakkan untuk menjalin kerjasama dengan universiti dan syarikat besar bagi membantu meningkatkan dan mengekalkan kecemerlangan pelajar sekali gus akan memberi mereka masa depan yang cerah.
Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni berkata, jalinan kerjasama dengan kolej dan universiti dilakukan bagi membantu pelajar memilih institusi terbaik untuk mereka melanjutkan pelajaran.
“Saya berharap agar pihak sekolah menjalinkan kerjasama yang erat dengan kolej-kolej dan universiti tempatan seperti Curtin University, UCTS dan juga Swinburne yang ada di negeri Sarawak. Kita jalinkan perhubungan yang erat bersama dengan Yayasan Sarawak agar kita dapat menempatkan pelajar-pelajar kita ke universiti tersebut.
“Kita juga menggalakkan guru-guru untuk menjalankan kerjasama bersama dengan universiti asal untuk kita membawa anak-anak kita agar dapat memilih universiti tempatan yang terbaik untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah yang lebih tinggi,” katanya ketika berucap di Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang (MAPC) di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang (KTDTHB) hari ini.
Selain itu, beliau juga mencadangkan untuk sekolah menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat untuk mendapatkan bantuan perbelanjaan bulanan kepada para pelajar dalam bentuk biasiswa.
“Saya mencadangkan yang banyak berlaku di sekolah-sekolah kerajaan di Semenanjung Malaysia dan juga ketika saya berada di KTDTHB, pengetua saya ketika itu mengadakan proses ‘matching’ kepada syarikat-syarikat untuk menampung perbelanjaan bulanan pelajar-pelajar tersebut. Kita jalinkan kerjasama bersama dengan Shell dan juga PETRONAS yang berada di Miri, syarikat-syarikat besar di Sarawak seperti PETROS ataupun SEDC, dengan pemberian bulanan sebanyak RM50, RM70, ataupun RM100 sebulan untuk menampung perbelanjaan pelajar dan dalam masa yang sama, pelajar tersebut mungkin akan dapat meneruskan elaun tersebut dalam bentuk biasiswa,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, beliau juga menyumbang geran sebanyak RM5,000 untuk Anugerah Lukanisman Awang Sauni pada tahun hadapan sebagai penghargaan untuk pelajar-pelajar cemerlang di KTDTHB.
Sumbangan sebanyak RM15,000 juga akan diberikan kepada Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) KTDTHB bagi menampung perbelanjaan aktiviti sekolah dan kemudahan fasiliti untuk pelajar. – TVS