KUCHING, 14 Jan: Sarawak terus menjadi tumpuan dunia apabila dasar ekonomi baharu yang dilaksanakan di wilayah ini mendapat perhatian dari negara luar terutama dari rantau Eropah.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan, beliau telah dikunjungi oleh delegasi dari negara England pada Jumaat yang menyatakan minat untuk mempelajari dasar ekonomi hijau yang dirancang dan dipraktikkan wilayah ini.
“Mereka dari komanwel jumpa saya yang mana mereka datang dari London terus ke sini untuk berjumpa dengan saya kerana ingin belajar mengenai ekonomi hidrogen.
“Mereka dari England datang ke sini nak belajar dengan kita (Kerajaan Sarawak) dari sudut ekonomi baharu,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak (AUBS) 2022 di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Menurut Abang Johari, ia memperlihatkan dasar ekonomi yang dirangka Kerajaan Sarawak adalah meyakinkan dan bukan bersifat retorik.
Untuk rekod, sebelum ini Abang Johari pernah beberapa kali dijemput oleh negara luar untuk berkongsi pandangan mengenai dasar ekonomi baru yang melibatkan pengeluaran tenaga bersih, antaranya pada Sidang Kemuncak dan Pameran Hidrogen Dunia di Rotterdam, Belanda, Forum Hidrogen di Tokyo, Jepun dan Sidang Kemuncak dan Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura Ke-15 (SIEW) di Marina Bay Sands, Singapura pada tahun lepas.- TVS