Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) bergambar bersama pemenang-pemenang Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak (AUBS) 2022. Foto: Hafeezzur Muzamir

MFICORD diberi tempoh enam bulan hasilkan makanan haiwan ternakan

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 14 Jan: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberikan tempoh enam bulan kepada Kementerian Perusahaan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MFICORD) untuk menghasilkan makanan haiwan ternakan daripada sisa kelapa sawit.

Menurut beliau, langkah tersebut bertujuan memanfaatkan ekonomi kitaran di negeri ini bagi mengawal harga pasaran komoditi terutama ayam dan telur.

Baca artikel berkaitan: Sarawak dijangka hasilkan makanan haiwan ternakan berasaskan kelapa sawit

“Masalah kita sekarang ialah kenaikan harga ayam dan telur. Jika kita menternak ayam, ia perlu makan, oleh itu kita import makanan haiwan tersebut sehingga mencecah berbilion ringgit.Namun, kini terdapat teknologi baharu dengan menggunakan sisa kelapa sawit dalam bentuk biojisim di mana kita boleh menukarkannya menjadi makanan haiwan, tetapi kita tidak memanfaatkannya, malah kita pilih untuk buang dan kita import makanan haiwan dari negara lain.

“Oleh itu, apabila mata wang kita lemah, pasti import akan meningkat dan apabila ini berlaku, kita tidak dapat membeli makanan ayam dan ia akan mati.Selepas itu, suka atau tidak, kita perlu mengimport ayam dan harga ayam dan telur akan menjadi mahal,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak (AUBS) 2022 di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Tambah Abang Johari, beliau telah mengarahkan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) untuk memulakan projek itu memandangkan Sarawak mempunyai sumber untuk menghasilkan makanan haiwan daripada sisa kelapa sawit.

“Saya telah meminta SALCRA untuk memulakannya, dan saya memberi modal untuk mereka menghasilkan makanan haiwan, termasuk haiwan seperti lembu dan apa sahaja haiwan, supaya kita boleh mengawal harga makanan haiwan ternakan, “ katanya.

Justeru, Abang Johari menggesa mereka yang mempunyai latar belakang kimia, biologi dan veterinar untuk meneroka bidang perniagaan baharu itu.

“Jika anda mahu melakukannya, kami mempunyai modal teroka di bawah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan kemudian kami mengambil ekuiti bersama-sama di mana kerajaan masuk sebagai pemegang ekuiti.

“Kemudian, apabila anda memulakannya, anda boleh membeli pada harga pasaran iaitu RM1, “ jelasnya.

Terdahulu pada Khamis, Abang Johari dalam ucapannya pada Majlis Amanat Perdana berkata, Sarawak mampu menghasilkan sendiri makanan untuk haiwan ternakan berbanding hanya bergantung kepada yang diimport.

Keyakinan itu disuarakan beliau melihat kepada sumber biomas di negeri ini yang boleh dijadikan baja.

Kata beliau, sekiranya Sarawak mengambil langkah menghasilkan makanan haiwan sendiri, pemain industri di sini tidak akan begitu terbeban dengan kenaikan harga produk berkenaan terutamanya makanan ayam yang diimport.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri beliau, Puan Sri Datuk Amar Juma’aini Tuanku Bujang, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Dato Dr Malcom Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Ripin Lamat dan Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF), Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg.

Seramai 251 peserta menyertai AUBS 2022 bagi merebut anugerah dalam pelbagai kategori dengan 31 daripadanya berjaya melangkah ke peringkat akhir.

Edisi kali ini menyaksikan dua anugerah utama iaitu Anugerah Usahawan Wanita dimenangi oleh Dayang Azizah Abang Zaidan dari Inter-Continental Travel Centre Sdn Bhd, manakala Anugerah Usahawan Bumiputera Cemerlang pula dimenangi oleh Lesley Luyoh Akah dari Aspajati Sdn Bhd.- TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan