KUALA LUMPUR, 13 Jan: Jaguh perseorangan dunia, Viktor Axelsen dan Akane Yamaguchi masing-masing melayakkan diri ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia.
Juara bertahan perseorangan lelaki, Axelsen memastikan beliau berada dalam laluan untuk mempertahankan kejuaraannya dengan menundukkan pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2018 Kenta Nishimoto dari Jepun 21-16, 21-12 dalam perlawanan suku akhir yang berlangsung di Arena Axiata di sini hari ini.
Pemain nombor satu dunia itu akan berhadapan satu lagi cabaran daripada pemain Jepun Kanta Tsuneyama, yang mengejutkan pemain pilihan keenam kejohanan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia 21-14, 21-16.
Axelsen yang turun ke gelanggang selepas berehat dua hari berikutan pemain veteran Malaysia, Liew Daren menarik diri daripada perlawanan pusingan kedua akibat kecederaan betis kanannya semalam, berkata beliau berada dalam keadaan cergas sepenuhnya untuk aksi hari ini.
“Keadaan sedikit berbeza buat saya hari ini, saya berehat dua hari, jadi secara fizikalnya saya rasa segar 100 peratus sementara Nishimoto saya rasa beliau agak keletihan selepas mengharungi tiga perlawanan yang mencabar.
“Saya selalunya menghormati sepenuhnya lawan saya dan tiada bezanya esok. Diharap saya akan dapat mengekalkan momentum untuk satu lagi perlawanan yang mencabar,” kata juara Olimpik dan dunia itu kepada wartawan.
Satu lagi perlawanan separuh akhir antara dua bintang meningkat naik – Kodai Naraoka dari Jepun dan Kunlavut Vitidsarn dari Thailand.
Sementara itu, pemain perseorangan wanita nombor satu dunia Yamaguchi menewaskan wakil Denmark Mia Blichfeldt , 21-12, 21-11 dalam perlawanan suku akhir hari ini untuk mara ke peringkat seterusnya. – TVS