SIBU, 12 Jan: Pengguna jalan raya di sini yang memiliki saman tertunggak berpeluang menyelesaikannya pada kadar diskaun sehingga 50 peratus.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, pembayaran boleh dilakukan di Balai Polis Trafik Sungai Merah di Jalan Wawasan mulai 14 hingga 15 Januari ini.
Katanya, kaunter pembayaran akan dibuka pada pukul 9 pagi hingga 4 petang bagi tempoh berkenaan.
“Tujuan utama tawaran diskaun ini adalah bagi memberi kemudahan kepada masyarakat di Sibu untuk menyemak dan seterusnya menyelesaikan saman tertunggak mereka pada kadar pengurangan yang diberikan,”katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, semua jenis saman layak mendapat diskaun 50 peratus kecuali saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman bicara mahkamah (bertanda M), saman mahkamah bertanda (/\’) dan saman ubah suai ekzos. -TVS.