Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi merasmikan Majlis Perasmian Bangunan Baharu Klinik Kesihatan Pantai Damai di Bandar Baru Samariang, Kuching pada hari ini. Foto: TVS

Kerajaan komited sediakan perkhidmatan kesihatan baik, selesa untuk rakyat

KUCHING, 11 Jan: Kerajaan terus komited untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang baik dan selesa kepada rakyat.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, tumpuan perkhidmatan tersebut bukan sahaja di kawasan bandar, malah juga akan dibina di pinggir bandar dan luar bandar.

“Klinik ini penting kerana lokasinya yang strategik iaitu berada di tengah-tengah taman perumahan terutamanya Taman Bandar Baru Samariang, Taman Samariang Aman, Taman Puteri dan banyak lagi.

“Ia juga dapat memberi perkhidmatan kepada masyarakat yang tinggal di kawasan ini terutamanya sebahagian besar daripada penduduk di kawasan Bandar Samariang yang merupakan golongan B40 yang memerlukan bantuan daripada perkhidmatan klinik kerajaan seperti di Klinik Kesihatan Pantai Damai ini,” katanya ketika ditemui media di Majlis Perasmian Bangunan Baharu Klinik Kesihatan Pantai Damai di Bandar Baru Samariang hari ini.

Beliau berkata, pendekatan itu diambil untuk memastikan pesakit mendapat perkhidmatan kesihatan yang efisien di samping keselesaan kakitangan untuk bertugas.

“Dahulu tempat itu agak padat dan tidak selesa untuk kakitangan bertugas dan orang ramai mendapatkan perkhidmatan kesihatan. Jadi, saya telah berbincang dengan pengarah kesihatan negeri bersama dengan kakitangan pejabat jabatan kesihatan negeri dan pejabat kesihatan bahagian untuk melihat sekiranya kita dapat berpindah ke kawasan yang lebih selesa setelah mendapat kerjasama daripada pemaju di kawasan ini.

“Kita juga ingin menyumbangkan beberapa peralatan perawatan kesihatan yang asas termasuklah kemudahan asas seperti kerusi, meja, bangku dan sebagainya,” katanya lagi.

Lebih 20 orang kakitangan pegawai perubatan dan staf sokongan yang akan bertugas di klinik tersebut untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Untuk rekod, terdapat lima klinik di kawasan Pantai Damai termasuklah Klinik Ibu dan Anak di Bintawa, Klinik Kesihatan di Telaga Air dan Klinik Kesihatan Santubong.

Bagi Klinik Kesihatan Pantai Damai, ia memberikan perkhidmatan kesihatan kepada lebih 100 pesakit sehari, klinik tersebut juga telah beroperasi pada 2 Januari yang lalu.

Turut hadir Pegawai Kesihatan Bahagian Kuching, Dr Raziah Mohammad. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan