Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah berjaya menumpaskan dua kes sindiket pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier hujung tahun lalu. Foto: TVS

JKDM Sabah tumpaskan sindiket pengedaran dadah guna perkhidmatan kurier

KOTA KINABALU, 11 Jan: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah berjaya menumpaskan dua kes sindiket pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier hujung tahun lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam JKDM Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman berkata, kedua-dua kes itu direkodkan berlaku di Lapangan Terbang Kota Kinabalu di sini lebih kurang jam 9.50 pagi pada 30 Disember 2022.

Bagi kes pertama, beliau berkata, pihaknya telah membuat pemeriksaan awal melalui mesin pengimbas di lapangan terbang itu dan menemui sebuah bungkusan yang meragukan disyaki mengandungi dadah berbahaya.

“Setelah intipan dilakukan, pasukan serbuan telah menahan dua suspek lelaki warga tempatan berusia 28 dan 30 tahun di pusat penyerahan bungkusan lebih kurang jam 12.35 tengah hari pada 3 Januari 2023.

“Mereka ditahan ketika menuntut sebuah bungkusan meragukan yang mana hasil pemeriksaan membawa penemuan sejumlah 3.085 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM111,060.

“Dalam serbuan sama, pihak kita turut merampas dua buah kenderaan yang dianggarkan bernilai RM80,000,” katanya ketika mengadakan sidang media di sini, hari ini.

Mohd Nasir berkata, kes kedua melibatkan penemuan dua bungkusan meragukan pada tarikh dan lokasi yang sama, bagaimanapun tiada tuntutan dibuat oleh penerima selepas beberapa hari intipan dilakukan.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui sejumlah 3.071kg dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM110,556 dalam dua buah bungkusan itu.

“Kita percaya modus operandi bagi kedua-dua kes ini adalah dengan menggunakan perkhidmatan kurier dengan memberi maklumat palsu dalam slip pos (consignment note) seperti alamat yang tidak wujud selain perniagaan atau syarikat yang tidak aktif,” jelasnya.

Kedua-dua kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntuk hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup.

Dalam pada itu, beliau berkata JKDM Zon Sabah berjaya merampas sebanyak 1.016 tan dadah jenis methamphetamine, ketamin, ganja dan ketum yang keseluruhannya bernilai RM4.34 juta bagi tempoh sepanjang tahun lalu.

Pada pertengahan tahun lalu, pihaknya turut merekodkan dua kes tangkapan melibatkan 52.5 kg syabu dan 0.34 kg ganja dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.89 juta. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan