MATU, 13 Jan: Pelaksanaan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) dilihat sebagai langkah terbaik untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata program itu merupakan antara bukti kesungguhan kerajaan dalam memperkasakan ekonomi rakyat.
“Projek PROSPEK yang dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah dan disalurkan melalui Kementerian Industri Makanan Sarawak adalah satu inisiatif terbaik daripada kerajaan bagi meningkatkan pendapatan golongan B40.
“Golongan sasaran projek ini adalah usahawan yang tidak mampu untuk meningkatkan pendapatan iaitu PROSPEK menyasarkan mereka yang sudah separa berjaya dengan memberi kemahiran, bantuan dan modal dengan harapan mereka menjadi contoh kejayaan kepada golongan B40,” katanya ketika ditemui TVS di sini, baru-baru ini.
Juanda yang juga ADUN Jemoreng berkata melalui PROSPEK, kerajaan berharap mereka yang terlibat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan untuk keluar dari kepompong kemiskinan.
Antara projek yang dilaksanakan di bawah PROSPEK di Matu ialah pemprosesan sesar unjur dan obor-obor di Kampung Kuala Matu, pertukangan berasaskan besi di Kampung Tian selain pusat penghasilan dan pengumpulan kraf tangan Kampung Sekaan Besar.
“Bagi pihak penduduk kawasan daerah Matu, kita mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak kerana telah memilih daerah Matu secara khusus sebagai tempat pelaksanaan projek ini,” katanya.
PROSPEK daerah Matu kini giat dilaksanakan selaras dengan hasrat untuk memberi impak kepada ekonomi setempat. – TVS