KOTA KINABALU, 10 Jan: Barisan Nasional (BN) Sabah menyokong penuh cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar kerajaan perpaduan Sabah yang melibatkan seluruh parti politik di negeri itu diwujudkan.
Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin dan percaya kaedah itu mampu meredakan kemelut politik dan seterusnya menstabilkan politik negeri berkenaan.
“Saya juga berharap agar Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dapat menerima dengan hati yang terbuka saranan daripada Perdana Menteri ini demi menjamin kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas mengenai Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada hari ini, Bung berkata, sebahagian besar Ahli DUN Umno Sabah tidak dapat hadir kerana perlu menghadiri Perhimpunan Agung Umno.
“Bagaimanapun, saya bersama Ahli-ahli DUN Umno Sabah turut menyokong penuh Rang Undang-undang Bekalan Gas 2023 yang akan dibentangkan dalam mesyuarat itu nanti,” jelasnya.
Jumaat lepas, Bung mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah menarik sokongan terhadap Hajiji susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri selain mendakwa perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional telah dilanggar.
Bung turut serta dalam pertemuan bersama Anwar, Hajiji dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada malam Isnin.
Bernama melaporkan bahawa Anwar memberi restu kepada Datuk Seri Hajiji Noor untuk kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.
“Kita beri ruang kepada Ketua Menteri (Hajiji) berbincang dan mencari satu formula terbaik untuk kebaikan Sabah,” kata Anwar dipetik dalam laporan itu. – TVS