Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor ketika menaiki kenderaan selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah, Pakatan Harapan, dan Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO yang menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah di Kota Kinabalu pada malam Isnin. Foto: Bernama

PM Anwar restui Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri Sabah

ByBernama

KOTA KINABALU, 10 Jan: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi restu kepada Datuk Seri Hajiji Noor untuk kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Anwar berkata beliau juga mahu kerajaan Sabah kukuh di bawah kepimpinan Hajiji.

“Kita beri ruang kepada Ketua Menteri (Hajiji) berbincang dan mencari satu formula terbaik untuk kebaikan Sabah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan kira-kira 40 minit dengan Hajiji dan wakil rakyat blok kerajaan di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Anwar mengucapkan terima kasih kepada Hajiji dan wakil rakyat di Sabah yang hadir dalam pertemuan itu bagi mendengar pandangan demi kebaikan negeri.

Jumaat lepas, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah menarik sokongan terhadap Hajiji susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional telah dilanggar.

Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan Sabah mempunyai perkara penting iaitu pembentangan usul penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di Dewan Undangan Negeri Sabah dalam usaha mengembalikan hak negeri itu.

“Satu Rang Undang-Undang penting (akan dibentangkan) untuk mengembalikan hak Sabah yang saya usulkan kepada Jemaah Menteri dan ini perubahan besar dan bagi saya (adalah) keutamaan,” katanya.

Kerajaan Sabah akan membentangkan usul bagi menerima penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas daripada Kerajaan Persekutuan pada Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri yang dijadual berlangsung hari ini.

Hajiji sebelum ini berkata perkara tersebut telah lama diperjuangkan pemimpin Sabah dan langkah itu dilihat signifikan dalam merealisasikan tuntuan negeri berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pada 21 Dis, Anwar mengumumkan kerajaan Persekutuan bersetuju memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri dan perkara itu dipersetujui sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menghormati MA63. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan