MIRI, 8 Jan: Rakyat dinasihatkan mengamalkan gaya hidup sihat bagi melahirkan masyarakat yang cergas dan kesihatan yang baik, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin.
Beliau berkata, aktiviti berkenaan juga membentuk keluarga yang bahagia apabila ibu bapa dan anak-anak meluangkan masa bersama.
“Jadi saya mahu kita semua memberi keutamaan kepada kesihatan diri sendiri. Selain daripada menjaga makanan, jagalah badan dengan bersenam. Selain itu, saya juga mahu kita semua mempunyai keluarga yang bahagia. Jadi apabila kita keluar bersama dengan anak-anak dan keluarga, ia juga satu cara kita boleh menambahkan kebahagiaan keluarga kita.
“Hari ini ramai anak-anak tidak mahu keluar, mereka sibuk dengan permainan telefon bimbit dan ia menjadi satu masalah,” katanya semasa acara S1FU Heroes Run anjuran Saiful One Fitness United (S1FU) di Taman Bulatan di sini, hari ini.
Katanya, Miri mempunyai pelbagai taman rekreasi termasuk berdekatan dengan taman perumahan mereka dan beliau menggalakkan agar rakyat memanfaatkan taman-taman tersebut untuk aktiviti sihat.
“Kita di Miri sekarang, mempunyai pelbagai taman. Kita hendaklah menggunakan taman-taman itu untuk melakukan senaman ataupun keluar jalan-jalan. Sebab itulah di kebanyakan kawasan kediaman sekarang, khasnya di kawasan saya di Permyjaya, Desa Senadin, termasuk Tudan pun semua ada taman mini rekreasi supaya para penghuni yang berdekatan boleh keluar pagi atau petang, boleh pergi berjoging dengan membawa anak-anak dan keluarga pergi bersama,” katanya lagi.
S1FU Heroes Run diadakan bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif untuk rakyat Miri terutamanya kepada keluarga, acara ini juga acara larian pertama yang dilancarkan oleh S1FU bagi meraikan permulaan tahun baharu terbahagi kepada empat kategori iaitu larian 15 kilometer (km),10 km, 5 km dan 3 km.-TVS