KOTA BHARU, 7 Jan: Kehadiran lima pemain import dari Brazil dan Senegal yang akan beraksi untuk pasukan Kelantan United (KUFC) dijangka mampu memperkuatkan skuad Kijang Hijau itu dalam menghadapi saingan Liga Super musim ini.
Pengarah Eksekutif KUFC, Anas Karimi Ahmad Thani berkata, kesemua pemain import yang berusia bawah 30 tahun itu merupakan muka baharu yang akan bermain di posisi penyerang, tengah dan pertahanan.
“Pemain import yang dibawa masuk ini tidak pernah bermain dengan mana-mana liga di negara ini. Mereka bukan sahaja dinilai dari segi minit permainan serta berapa perlawanan yang mereka hadapi, malah rekod kecederaan, gaya permainan turut diambil perhatian.
“Kelima-lima mereka dijangka akan memulakan sesi latihan bemula pada minggu hadapan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Anas Karimi turut memberi jaminan, akan memastikan setiap pemain import yang bermain dengan KUFC bukanlah sekadar ‘menumpang’ atau memanaskan kerusi simpanan semata-mata, tetapi akan memberikan aksi yang cemerlang untuk menempatkan pasukan dalam kedudukan terbaik liga. – TVS