SIBU, 5 Jan: Polis menahan seorang lelaki dan merampas ganja kira-kira 2.3 kilogram di sebuah rumah di Lorong Permai Jaya di sini pada Rabu.
Lelaki berusia 26 tahun terbabit ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu pada jam 11.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, tangkapan dan rampasan tersebut merupakan hasil maklumat daripada awam dan risikan polis.
“Bertindak daripada maklumat, pihak kami telah menjalankan satu serbuan dan menangkap suspek.
“Polis telah merampas dua balutan kertas timah warna keemasan berisi ketulan mampat daun-daun kering disyaki dadah jenis ganja dan 11 paket plastik lutsinar pelbagai saiz juga berisi daun-daun kering disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 2,343.61 gram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, polis turut merampas sembilan botol kecil berisi cecair vape isipadu 10 mililiter disyaki dadah jenis ganja seberat 173.7 gram dengan nilai rampasan dadah semasa berjumlah RM6,759.00.
Suspek yang mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah, didapati negatif dadah susulan ujian saringan air kencing.
Tambahnya suspek ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan telah direman selama lima hari bagi membantu siasatan.
Jika sabit kesalahan dibawah seksyen itu, suspek akan berdepan hukuman mandatori gantung sampai mati. – TVS