KUCHING, 4 Jan: Strategi yang tidak tersusun semasa mengendalikan bencana mengakibatkan segelintir mangsa terpaksa menunggu dalam tempoh yang lama untuk menerima khidmat bantuan.
Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, Datu Khirudin Drahman menegaskan amat penting dalam kalangan masyarakat memiliki ilmu penyelamatan terutama saat genting semasa bencana melanda.
Menurut beliau masyarakat tidak digalakkan bergantung sepenuhnya kepada agensi penyelamat, sebaliknya mereka perlu menyelamatkan diri terlebih dahulu sebelum bantuan tiba.
“Kesiapsiagaan ini tidak hanya ditentukan oleh Bomba dan agensi-agensi penyelamat yang lain sahaja. Sebab itulah kita ada agensi-agensi pusat dan agensi-agensi negeri yang perlu menyalur maklumat kepada masyarakat dan masyarakat perlulah terdidik,
“Bila sebut terdidik ini, ia terpulang kepada masyarakat, kita tidak paksa mereka untuk belajar tetapi kita tetap beri didikan (maklumat sebagai usaha mendidik),
“Mereka perlu ada ilmu penyelamatan sebagai usaha menyelamatkan diri jika berlaku bencana,” katanya ketika ditemui TVS di Ibu Pejabat JBPM Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, Khirudin memberitahu masyarakat di beberapa negara seluruh dunia telah dididik dengan ilmu penyelamatan dan perkara ini boleh dijadikan contoh di negara Malaysia, khususnya di Sarawak sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
“Masyarakat terdidik ini akan menyelamatkan mereka sendiri serta orang sekeliling. Ambil contoh negara Jepun, Korea, Taipei, New Zealand, Australia. Kenapa masyarakat di sana selamat daripada bencana? Sedangkan negara-negara itu berisiko terdedah dengan bencana alam,
“Kerana mereka ialah masyarakat terdidik. Mereka sudah bersedia. Negara Jepun mempunyai Community Learning Centre dengan kemudahan gempa bumi, macam mana hendak selamatkan diri iaitu setiap rumah di Jepun wajib ada satu meja iaitu kaki meja itu sendiri merupakan tempat selamat untuk mereka berlindung,” ujarnya.
Menurutnya kaki meja di negara matahari terbit itu diperbuat daripada besi pepejal menjadikan di bawah meja tersebut diletakkan air minuman untuk bekalan selama tiga hari termasuk biskut, bateri dan lampu suluh sebagai inisiatif mangsa bertahan.
“Ketika berlaku runtuhan bangunan, proses mencari mereka akan mudah sebab ada lampu suluh, ada isyarat dan boleh dikesan,” jelas Khirudin lagi.
Beliau menambah, Malaysia merupakan sebuah negara bertuah kerana tidak dilanda bencana besar seperti negara-negara lain sebelum ini seperti tsunami, gempa bumi dan sebagainya.
Namun tegasnya situasi ‘selamat’ tersebut tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk terus berada dalam zon selesa tanpa memikirkan langkah untuk mengatasinya.
“Sebab itulah dalam sistem sains dan teknologi sekarang, banyak maklumat yang kita dapat peroleh, contohnya laporan dari MetMalaysia,
“Apabila pihak kami mendapat laporan daripada MetMalaysia, contohnya dijangka esok akan berlaku hujan lebat di kawasan-kawasan tertentu, pihak kami sudah buat pemantauan, buat advokasi yang mana balai kita di lokasi tersebut sudah mula turun,” jelas Khirudin.
Dalam pada itu katanya, JBPM Negeri Sarawak akan terus mempergiat advokasi kepada masyarakat sebagai usaha mencegah serta menangani sebarang insiden yang berlaku. -TVS