KOTA KINABALU, 4 Jan: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik keputusan kabinet Persekutuan berhubung pemberian autonomi penuh kepada Sabah dan Sarawak untuk projek pembangunan di bawah RM50 juta.
“Ini adalah satu lagi berita gembira yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain penyerahan kuasa pengawalseliaan sumber gas kita,
“Ia pasti akan membantu dalam mendapatkan kelulusan dan pelaksanaan projek pembangunan yang sentiasa terhalang ekoran kerenah birokrasi yang rumit sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu.
Tambahnya, ia merupakan berita yang baik mengikut semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Hajiji menyatakan beliau dan rakan sejawatannya dari Sarawak akan bermesyuarat dengan Perdana Menteri untuk memuktamadkan beberapa perkara di bawah MA63, antaranya isu geran khas.
Beliau juga mendedahkan Jawatankuasa Kerja dan Kajian Semula MA63 akan diteruskan di bawah kepimpinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurutnya, antara berita gembira lain yang dijangka adalah peruntukan tambahan bagi mempercepatkan pembinaan projek lebuh raya Pan Borneo di Sabah.
Terdahulu, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama bagi tahun ini, Anwar telah mengumumkan autonomi penuh akan diberikan kepada Sabah dan Sarawak bagi projek di bawah RM50 juta dengan pematuhan yang sewajarnya dan peraturan monetari yang ditetapkan. -TVS