KUCHING, 4 Jan: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Norway ke Malaysia, TYT Morten Paulsen, di pejabatnya Wisma Bapa Malaysia Petra Jaya hari ini.
Rombongan yang diketuai Duta Besar Norway itu turut disertai oleh Timbalan Ketua Misi Kedutaan Norwegian Diraja, Tom Jorgen Martinussen, Pengurus Besar Scatec Solar, Arnfinn Ingar Unum, Pengurus Pembangunan Perniagaan Det Norske Veritas, Malaysia, Dr. Mazlan Shah, dan Perundingan Hidrogen Kanan, Thomas Keller.
Kunjungan berkenaan bertujuan untuk memperkenalkan diri beliau sebagai Duta Besar Norway ke Malaysia yang baharu kepada Abang Johari.
Antara lain kunjungan hormat tersebut bertujuan untuk membincangkan usaha-usaha perniagaan dua hala yang boleh diwujudkan atau dibangunkan antara kedua-dua belah pihak kerana terdapat banyak persamaan selain mempertingkatkan hubungan dua hala antara Norway dan Sarawak. – TVS