KUCHING, 4 Jan: Malaysia kini dijangka mengalami tempias krisis ekonomi global yang bakal merudum sekali gus akan menyebabkan kenaikan kos sara hidup.
Justeru, memasuki tahun 2023, masyarakat di negara ini harus mengambil kira faktor-faktor yang akan memberi kesan pada kos peningkatan sara hidup.
Timbalan Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Madya Dayang Affizah Awang Marikan berkata, tahun ini akan membawa cabaran ekonomi yang luar biasa berbanding pada tahun sebelumnya.
“Banyak faktor kos sara hidup yang perlu dinilai namun dua sudut utama iaitu kos harga barangan dan juga inflasi dunia semasa menjadi tunjang utama permasalahan kini.
“Cabaran pada tahun 2023 adalah berbeza dengan tahun-tahun sebelum COVID-19. Cabaran 2023 akan menentukan kebolehan sesebuah negara dalam menangani pemulihan selepas COVID-19. Antara cabarannya adalah inflasi walaupun inflasi merupakan fenomena global yang tidak dapat dielakkan. Namun, saya mengingatkan bahawa inflasi di Malaysia adalah pada kadar terkawal dan tidak terlalu membimbangkan berbanding negara lain,” katanya.
Oleh itu katanya, rakyat harus bijak berbelanja di antara kehendak atau keperluan bagi menangani kos sara hidup dan mengelakkan jumlah kadar hutang besar yang perlu ditanggung.
“Cara pengawalan inflasi harus bijak dilakukan oleh kedua-dua belah pihak kerajaan dan rakyat. Sebagai rakyat, perbelanjaan berhemah itu harus dilakukan. Kemungkinan kadar dasar semalaman (OPR) akan naik lagi pada tahun 2023 dan ia tidak dapat dielakkan. Kita sebagai rakyat haruslah membantu dalam menangani inflasi ini dengan tidak membuat hutang yang besar pada tahun depan dan tahun yang akan datang,” katanya lagi.
Tambahnya, rakyat kini harus bersiap siaga mempunyai wang simpanan persendirian yang kukuh sebagai langkah berjaga-jaga dalam menghadapi kemelesetan ekonomi yang akan datang ini.
“Rakyat harus mempunyai wang simpanan dengan mempelbagaikan sumber pendapatan. Simpanan juga perlu dipelbagaikan dengan melakukan pelaburan wang simpanan bagi menambahkan pendapatan rakyat. Rakyat juga perlu sentiasa berhemah dalam berbelanja,” ujarnya lagi.
Jelasnya, bagi menangani kenaikan kos sara hidup kerajaan harus mempunyai kerangka kerja yang jelas dan teratur dalam memperbaharui impak krisis ekonomi yang bakal dihadapi.-TVS