Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Sedili Rasman Ithnain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Muar atas pertuduhan mencabul kehormatan seorang wanita Januari tahun ini. Foto: Bernama

Bekas ADUN Sedili dibebaskan daripada pertuduhan cabul wanita

ByBernama

JOHOR BAHRU, 3 Jan: Mahkamah Majistret Muar hari ini melepas dan membebaskan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili Rasman Ithnain daripada pertuduhan mencabul seorang wanita di dalam sebuah kereta tahun lepas.

Majistret Analia Kamarudin membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Rasman, 54.

Peguam Mohamad Alias Rasman ketika dihubungi berkata, Analia dalam penghakiman ringkas antara lain menyatakan selepas menilai kebolehpercayaan saksi pendakwaan secara maksimum sepanjang perbicaraan, mahkamah mendapati pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap Rasman.

“Oleh yang demikian, tertuduh dilepas dan dibebaskan serta wang jaminan dikembalikan semula,” katanya sambil menambah seramai empat saksi pendakwaan memberi keterangan dalam perbicaraan yang berlangsung pada Ogos tahun lepas.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos manakala Rasman turut diwakili peguam Muhammad Mohd Nasir dan Muhammad Izzad Syafiq Ismail.

Tengku Amir Zaki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Rasman didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang wanita berusia 27 tahun di Muar pada kira-kira 5 petang 13 Januari 2022 mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman, jika sabit kesalahan.

Ketua Bahagian Bersatu Kota Tinggi dan Pengarah Jabatan Pilihan Raya Perikatan Nasional Johor itu dalam satu kenyataan menzahirkan rasa syukur dengan keputusan tersebut yang sekali gus dapat menegakkan kebenaran kepada beliau.

Bekas ADUN Sedili yang berkhidmat selama tiga penggal dari 2008 hingga 22 Januari tahun lepas itu juga berkata, beliau akan terus komited berbakti kepada rakyat dan menganggap kes tersebut sebagai satu siri ujian terhadap dirinya serta keluarga. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan