KUCHING, 3 Jan: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berpuas hati dengan persiapan dan pembukaan hari pertama persekolahan bagi penggal 3 sesi 2021/2022, hari ini.
Menurutnya, guru-guru dan murid-murid nampaknya cukup cergas dan bersemangat untuk meneruskan baki sesi akademik penggal ini.
“Alhamdulillah, saya lihat persiapan semuanya baik,” katanya menerusi Facebook selepas meninjau pembukaan hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, Kampung Jalan Kebun, Shah Alam, hari ini.
Dalam pada itu, Awani melaporkan ketetapan mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 di sekolah adalah bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan akur dengan sebarang garis panduan dan nasihat KKM.
“Setakat ini kita akan bersama dengan KKM dan menurut sahaja apa yang akan dinasihatkan oleh KKM. Kita bergantung kepada nasihat KKM dari semasa ke semasa,” katanya.
Ditanya mengenai kekurangan pra sekolah dan tadika kerajaan di bandar, Fadhlina memberitahu, pihaknya sedang meneliti keperluan serta kewajaran untuk menambah.
“Kita sedang melihat keutamaan untuk menambah kelas prasekolah ini dan ianya sudah dibincangkan dengan KSU dan Ketua Pengarah Pendidikan bahawa ada keperluan ketika ini untuk melihat dan menambah, selain itu dasar yang berkait rapat dengan pra sekolah ini juga akan dipercepatkan,” ujarnya. – TVS