Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Abang Afiq (kanan) muncul juara Kejohanan Boling Antarabangsa Pesta Pulau Pinang di sini hari ini. Foto: TVS

Atlet Sarawak juara Boling Antarabangsa Pesta Pulau Pinang

BUTTERWORTH, 31 Dis: Sarawak menawan Kejohanan Boling Antarabangsa Pesta Pulau Pinang 2022 apabila dua wakilnya masing-masing menduduki dua tangga teratas sebagai juara dan naib juara hari ini.

Foto: TVS

Abang Afiq Yazid Abang Azman menguasai Pusat Boling Megamall di sini apabila mengumpul 1,924 jatuhan pin pada pusingan akhir lapan permainan.

Ini seterusnya meletakkan atlet yang berasal dari Kuching itu sebagai pilihan pertama pada acara step ladder.

Abang Afiq Yazid, 23, yang meraih pingat perak pada Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur, September lepas melakukan 247, 286, 290, 222, 214, 207, 200 dan menamatkan permainan dengan 258 pin untuk mengatasi 39 peserta lain.

Dua lagi yang mara ialah Kang Tae Yong dari Korea Selatan dan Musayyar Khalid yang merupakan rakan sepasukan Abang Afiq Yazid pada SUKMA.

Pada acara step ladder pertama, Musayyar mudah menewaskan Tae Yong dengan keputusan 193 berbalas 169 jatuhan pin bagi melayakkannya berdepan Abang Afiq Yazid untuk penentuan kejuaraan.

Perlawanan akhir menyaksikan Abang Afiq Yazid tidak berdepan masalah untuk mengekalkan rentak cemerlangnya sejak pagi tadi apabila berjaya menewaskan Musayyar dengan keputusan 214-189.

Ketika ditemui TVS, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak itu berpuas hati setelah berjaya merangkul kejuaraan terbuka antarabangsa pertama dalam kariernya.

Katanya, selepas beraksi dengan baik dalam tiga permainan awal, beliau berusaha mengekalkan rentak balingan.

“Sebenarnya agak sengit ketika pusingan lapan perlawanan tadi kerana ramai pemain boling lain sedang cuba untuk memintas saya,” katanya.

Ditanya tentang perancangan pada tahun depan, Abang Afiq Yazid berkata, sekiranya ditawarkan menyertai pasukan lelaki elit kebangsaan, dia bersedia untuk menyahut cabaran berkenaan.

“Ini seterusnya akan membuka ruang kepada saya untuk menyertai pertandingan besar seperti Kejohanan Dunia,” katanya.

Selaku juara, Abang Afiq membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 serta trofi manakala Musayyar pula berpuas hati dengan RM20,000.

Tae Young turut menerima trofi dan hadiah berjumlah RM10,000.

Kejohanan yang bermula pada 23 Disember lepas itu disertai oleh lebih 200 peserta termasuk dari Australia, Thailand, Jepun, Taiwan, Singapura dan Pakistan. – TVS

Berita Berkaitan

No data was found

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan

No data was found